Saturday, 18 June 2011

WANITA MENDERITA DALAM DIAM

Sanggup mengorbankan hidup kerana tidak peka terhadap hak sebenar

BENARKAH ungkapan `lelaki memberi cinta untuk mendapatkan seks, wanita pula memberi seks untuk mendapatkan cinta’? 

Tidak dapat dinyatakan dengan pasti kesahihan ungkapan itu, namun, banyak contoh menunjukkan kebanyakan wanita bersikap sedemikian sehingga ada ketikanya, keadaan itu mendedahkan mereka menjadikan mangsa keganasan lelaki, baik suami, teman lelaki mahu pun rakan.

Sikap lembut, penyabar dan sering beralah wanita menyebabkan mereka terpaksa menderita dalam diam kerana tidak mahu dianggap derhaka dan tidak setia kepada pasangan. Malah, ada wanita sanggup mengorbankan hidup dan keluarganya kerana tidak mahu melanggar adat dan agama.

Berdasarkan fakta itu, ia mungkin juga antara penyebab mengapa kes keganasan terhadap wanita kini semakin serius. Saban hari, ada saja kes keganasan terhadap wanita dipaparkan media. 

Statistik Jabatan Pembangunan Wanita mencatatkan kes keganasan wanita yang mendapat perkhidmatan kaunseling pada 2008 ialah 957 kes. Jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada 2009 dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 1,008 kes sudah dilaporkan. 

Perkara ini harus diberi perhatian. Wanita harus diberi pendidikan dan kesedaran sewajarnya mengenai hak mereka. Berikutan itu, satu seminar Literasi Undang-undang Menangani Masalah Keganasan Terhadap Wanita dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd, berkata peningkatan statistik mengenai kes penderaan terhadap wanita mencerminkan mereka masih belum peka mengenai hak sebagai wanita yang dilindungi. Beliau berkata, wanita perlu sedar mereka mempunyai hak mempertahankan diri dari segi undang-undang jika didera. 

“Didera suami sekali pun, keadaan itu perlu dibawa ke muka pengadilan. Jika mereka tidak bertindak, dikhuatiri gejala penderaan terus berleluasa hingga menyebabkan mereka diperlakukan sesuka hati. 

“Senario ini amat menyedihkan kerana wanita masa kini adalah tunggak pembangunan negara. Jika isu ini tidak dibendung, negara akan rugi kerana tenaga dan kepakaran wanita amat diperlukan bagi membangunkan ekonomi dan pembangunan modal insan,” katanya. 

Seminar seperti ini, kata Wan Hasmah, memberi penjelasan kepada peserta mengenai hak, pengetahuan, keyakinan dan kesedaran mengenai undang-undang apabila berdepan situasi tertentu seperti perkahwinan, perceraian, nafkah, gangguan seksual, rogol, cabul, pembuangan bayi dan eksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab. 

Ketika mengulas isu berkaitan, seorang peguam, Tengku Naufal Tengku Mansor, berkata keganasan terhadap wanita adalah jenayah dan pencabulan hak asasi terhadap mereka. 

Beliau berkata, penderaan juga adalah bentuk keganasan wanita bukan saja dalam bentuk fizikal tetapi emosi dan psikologi, lazimnya dilakukan lelaki yang menganggap wanita tidak setaraf dan lemah. 

Keganasan terhadap wanita, katanya, sudah menjadi isu global, tidak mengira golongan mahu pun taraf hidup. 

Tengku Naufal berkata, bagi kategori penderaan fizikal, wanita sering dikasari dengan pelbagai cara menyakitkan antaranya, dipukul, ditoreh hingga nyawa mereka terancam. 

Malah, katanya, usaha menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan mendapat perlindungan juga termasuk dalam kategori penderaan fizikal. 

“Penderaan fizikal yang boleh mencederakan ini jelas melanggar hak asasi manusia. Perbuatan seumpama ini boleh dihukum. Kecederaan seumpama itu pastinya dapat dilihat. Bagaimana pula dengan penderaan emosi, tanpa disedari penderaan sedemikian menyebabkan mangsa berada dalam keadaan trauma dan sentiasa murung dan boleh menyebabkan gangguan mental,” katanya. 

Lazimnya penderaan seperti itu, kata Tengku Naufal, berlaku dalam bentuk ugutan, tengking, herdik, cacian dan hinaan. Penderaan ini menjejaskan nilai harga diri seorang wanita. Keadaan berlarutan hinggakan mangsa mengalami perasaan rendah diri. 

Jika isteri mengalami keadaan sedemikian, mangsa, kata beliau, tidak boleh berfungsi dengan baik sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Jika dia berkerjaya dan memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi, pasti produktivitinya terjejas. 

Selain penderaan fizikal, emosi dan psikologi, katanya, wanita juga terdedah kepada penderaan dan gangguan seksual. Gangguan sedemikian adalah perilaku atau pendekatan berkaitan seks tidak diingini. Ia termasuk permintaan melakukan seks dan perilaku lainnya yang secara verbal atau fizikal merujuk kepada seks. 

Menurut Tengku Naufal lagi, dalam gangguan seksual, 10 peratus datangnya daripada ancaman, 10 peratus lagi intonasi (nada suara), iaitu gangguan berbentuk perkataan lucah, pujian berbaur seks dan perkataan yang boleh menjatuhkan maruah wanita manakala 80 peratus perbuatan atau non-verbal atau isyarat iaitu menjelirkan lidah, bermain mata, isyarat tangan, pandangan dan kerlingan. 

Dalam zaman serba canggih kini, beliau berkata, gangguan boleh disebarkan dalam bentuk penghantaran visual lucah dan mesej berbaur seks serta ajakan seks menerusi telefon. 

Gangguan seksual memberi kesan langsung kepada status pekerjaan wanita, sama ada untung atau rugi, kenaikan atau penurunan pangkat. Biasanya perkara ini berlaku daripada pihak atasan kepada pekerja. 

Umpamanya rasuah seks, jika pekerja bawahan inginkan kenaikan pangkat mereka perlu memuaskan nafsu majikan mereka dan mengikut arahan yang bertentangan dengan etika kehidupan. 

Dalam membendung isu keganasan itu, Tengku Naufal berkata, kerajaan menyediakan peruntukan khas mengikut undang-undang yang membela wanita daripada terus dianiaya. 

Beberapa akta digubal bagi membela nasib wanita dan memberikan mereka peluang mengecapi kehidupan dengan lebih tenteram dan tenang. Kanun keseksaan Seksyen 509 ada menyebut sesiapa yang melakukan keganasan atau jenayah kepada wanita akan dikenakan tindakan mengikut kanun keseksaan berkenaan. 

“Sudah tidak masanya kaum wanita bangkit dan memperjuangkan hak mereka. Bangun dari mimpi negeri dan sedar hak mereka dilindungi. Wanita adalah tunggak masa depan negara. 
Meskipun wanita lembut, mereka bukan lemah,” katanya

No comments:

Post a Comment