Friday, 17 June 2011

Soal jawap keganasan rumahtangga

Soal Jawab Keganasan Rumah Tangga


Keganasan Rumah Tangga



Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?
  • Secara sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal.
  • Mencederakan mangsa secara fizikal.
  • Memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mana mangsa itu berhak untuk tidak melakukannya.
  • Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
  • Khianat atau merosakkan harta dengan niat akan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.
Siapakah mangsa keganasan rumah tangga?
  • Isteri / bekas isteri
  • Suami / bekas suami
  • Anak-anak
  • Ibu bapa
  • Ahli keluarga yang tinggal serumah

Apakah yang dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga?
  • Penderaan fizikal
  • Penderaan mental
  • Penderaan emosi
  • Penderaan seksual
  • Penderaan spiritual

Bagaimanakah keganasan rumah tangga boleh berlaku?
Keganasan rumah tangga berlaku melalui beberapa tahap dan peringkat iaitu:
  • Tahap 1 : Peningkatan tekanan - Bermula dengan perselisihan yang kecil dan isteri akan cuba menenangkan Si suami dengan pelbagai tindakan. Si Isteri lebih banyak mengalah menyebabkan Si suami akan menjadi dominan.
  • Tahap 2: Permulaan insiden keganasan - Di peringkat ini, keganasan berlaku secara mendadak disebabkan Si suami tidak dapat mengawal kemarahannnya. Si isteri pula, tidak akan melawan, sebaliknya memendam rasa dan menangis. Keadaaan ini akan menyebabkan Si isteri mengalami tekanan psikologi yang keterlaluan.
  • Tahap 3: Penyesalan - Pihak mangsa akan merasa sedih dan takut akan ditinggalkan pasangan. Suami berjanji akan berubah sikap, memohon maaf dan menunjukkan kasih sayang dan kemesraan yang luar biasa. Keadaan ini akan memberikan keyakinan kepada Si isteri bahawa Si suami akan berubah.
 Adakah perselisihan faham boleh membawa kepada berlakunya keganasan rumah tangga?

 Terpulang kepada pasangan suami isteri mengendalikan emosi mereka. Jika pasangan itu dapat berkomunikasi secara positif dan menyelesaikan perselisahan itu dengan baik, dan pasangan akan mengakui dan menginsafi kesalahan yang di buat, ia tidak akan membawa kepada keganasan rumah tangga. Walaubagaimanapun jika pasangan itu tidak dapat mengawal emosi mereka, kemungkinan pertengkaran dan pergaduhan akan berlaku. Kesan yang lebih teruk akan berlakunya keganasan fizikal, mental dan emosi atau seksual.


Mengapa keganasan rumah tangga boleh berlaku?

Keganasan rumah tangga berlaku kerana beberapa sebab:
  • Tiada keharmonian dan persefahaman dalam rumah tangga.
  • Personaliti suami atau isteri.
  • Latar belakang keluarga.
  • Kesan penagihan dadah, alkohol atau judi.
  • Masalah ekonomi.
  • Faktor terlalu cemburu terhadap pasangan.
  • Masalah mental
  • Latar belakang masyarakat dan budaya.
  • Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah tangga.
  • Wujudnya orang ketiga dalam rumah tangga.
  • Kurangnya didikan agama.

Bagaimanakah untuk mengelakkan daripada berlakunya keganasan rumah tangga?
  • Menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.
  • Pasangan perlu menerima kekuatan dan kekurangan pasangan mereka dan sama memperbaikinya.
  • Pasangan perlu sentiasa berbincang tentang masalah yang dihadapi dan mencari penyelesaian secara harmoni.
  • Pasangan perlu tahu dan menunaikan tanggungjawab mereka.
  • Pasangan mengetahui hak-hak mereka dari sudut agama dan perundangan.
  • Berpegang teguh pada agama.

Mengapa keganasan rumah tangga mesti dibendung?

Keganasan rumah tangga mesti dibendung kerana ia meninggalkan kesan negatif dalam institusi kekeluargaan.
  • Si mangsa akan mengalami tekanan fizikal, mental dan spiritual. Sentiasa berada dalam satu situasi yang tidak selamat. Jika ia dibiarkan ia akan menjadi trauma untuk kesan jangka panjang.
  • Akan menimbulkan kesan negatif kepada pertumbuhan atau perkembangan anak-anak. Kemungkinan si anak akan mengulangi apa yang dipelajari dari ibu bapanya apabila mereka besar kelak. Mereka pula berpotensi untuk menjadi pendera.
  • Jika ia berterusan jalan akhirnya akan berlakunya penceraian. Penceraian tidak menguntungkan semua pihak. Pihak yang paling rugi sekali ialah anak-anak. Anak-anak akan mengalami tekanan emosi dan mental akibat penceraian ibu bapa mereka.
  • Anak-anak mangsa penceraian ini akan mengalami konflik identiti dan jika mereka tersalah haluan akan terlibat dengan kes-kes juvana seperti gangsterism, vandalism, penagihan dadah dan lain-lain masalah sosial.
  • Si ibu pula akan menjadi ibu tunggal. Terpaksa memainkan peranan sebagai ketua rumah.

Siapakah yang paling mudah terjebak kepada keganasan rumah tangga?
  • Pasangan yang berkahwin dalam usia yang muda.
  • Pasangan yang berpersonaliti negatif ( panas baran, kuat berleter dll)
  • Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah tangga.
  • Penagih, pemabuk dan kaki judi.
  • Pasangan yang mengalami sakit mental.
  • Pasangan yang kuat cemburu.
  • Pasangan yang diganggu oleh orang ketiga.
  • Pasangan yang menghadapi masalah ekonomi.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda adalah mangsa keganasan rumah tangga?

Jika keganasan rumah tangga di tahap tidak serius:
  • Mengenalpasti punca berlakunya keganasan rumah tangga.
  • Cuba berbincang dengan pasangan anda agar tidak berlaku lagi.
  • Dapatkan bantuan orang ke tiga di kalangan kedua-dua keluarga anda.
  • Hubungi JPW ( unit Kaunseling ) atau PPWN untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Jika keganasan di tahap serius:
  • Pastikan anda mendapat rawatan doktor jika berlaku kecederaan. Pergi ke OSCC ( Pusat Khidmat Bersepadu )
  • Laporkan kepada pihak polis.
  • Laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah perlindungan Interim ( IPO ) atau Perintah Perlindungan (PO).
  • Jika anda telah membuat keputusan untuk bercerai, failkan penceraian anda di mahkamah.

Bolehkah perkara ini ditangani sendiri tanpa bantuan pihak ketiga?

Boleh. Jika pasangan bersedia berbincang secara baik untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul. Pada masa yang sama, pasangan dapat menerima kekuatan dan kelemahan pasangan dan memberi sokongan antara satu sama lain. Pasangan suami isteri perlu sedar bahawa perkahwinan bukan sahaja bersatunya dua hati tetapi penyatuan cara hidup, budaya dll. Kembali kepada agama dan memainkan peranan serta tanggungjawab sebagai suami isteri merupakan satu pendekatan yang terbaik.

Siapakah yang boleh membantu apabila anda mengalami keganasan Rumah Tangga?
  • Diri sendiri
  • Ahli Keluarga
  • Jiran tetangga
  • Ahli sukarelawan dan NGO
  • Pihak Polis
  • Hospital
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Jabatan Agama Islam atau Badan Pendamai.
  • Untuk mendapatkan khidmat nasihat hubungi Unit Kaunseling JPW atau PPWN ( Rumah Nur )

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan bantuan?
  • Ingin mendapatkan khidmat nasihat : Menelefon atau membuat temujanji dengan kaunselor-kaunselor dan Pegawai Pembangunan Masyarakat ( JPW, PPWN,JKM,JAIS dan sukarelawan-sukarelawan NGO )
  • Ingin membuat aduan: Lapor segera kepada pihak polis yang berdekatan. Jika terdapat kecederaan, pergi ke Pusat Khidmat Sepadu( OSCC ) Ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan IPO dan tempat perlindungan jika perlu.
Mengapakah wanita atau mangsa keganasan rumah tangga sering berdiam diri (membisu ) atau lambat bertindak apabila didera? 
  • Wanita tidak mempunyai kesedaran tentang hak mereka sebagai isteri dalam aspek agama dan undang-undang.
  • Perasaan takut kerana akan hilang tempat bergantung.
  • Perasaan malu untuk membuat aduan tentang kepincangan keluarga sendiri.
  • Memikirkan tentang anak-anak.
  • Termakan pujuk rayu dan janji manis si suami

1 comment:

  1. assalamualaikum... saya ada masalah dengan suami saya... saya, isteri yang bekerja dengan keizinan suami..tetapi gaji saya selalu diminta oleh suami untuk membayar semua bil elektrik, air, yuran sekolah anak-anak, rumah dan macam-macam lagi... gaji suami saya, saya tidak boleh tahu ke mana perginya... bolehkah cik membantu masalah yang sedang saya hadapi ini??

    ReplyDelete